Archive for August 16th, 2010

Pada 13/8/2010 , hari Jumaat malam aku bertolak dari hentian Bas Jerteh ke Shah Alam. Malam itu bas dijadualkan tiba jam 9.30 malam. Isteri bersama anakku Abu Bakar menghantarku ke stesen bas.

“Tak payah tunggu abang, bas belum tentu tiba tepat jam 9.30 malam. Pulanglah, Abu Bakar nampaknya sudah mengantuk..” kataku kepadanya sebaik tiba di stesen bas.

Hilang saja kelibat kancil yang dipandu olehnya, aku menuju ke surau yang berhampiran. Surau itu kecil sahaja. Daif keadaannya. Namun cukup untuk melepaskan keperluan bersolat.

Tiada sesiapa di sana. Lampu terang dan kipas ligat bepusing. Jam menunjuk ke angka 9.10 malam. Aku mengambil keputusan untuk solat sunat Terawih.

Jam menunjuk ke angka 9: 30 malam. Sebagaimana dijangka bas belum tiba. Aku keluar dari surau dan menunggu di tempat yang disediakan. Sekali lagi membelek jam di blackberry.Oh! sudah hampir jam 10.30 malam baru kelihatan kelibat bas ekspress SANI. Ini kali pertama aku menempah tempat duduk di hadapan sekali pada tingkat atas bas itu. Selesa, cuma ruang kakinya aku rasakan agak sempit.

Hampir jam 6:30 pagi bas tiba di seksyen 17 Shah Alam. Sekali lagi aku bergegas ke surau untuk menunaikan solat subuh. Kemudian aku bertolak dengan teksi ke seksyen 10, Komplek Pusat Kesenian Islam, berhampiran Masjid Negeri Shah Alam.

Pintu gerbangnya masih ditutup, lalu aku berjalan kaki ke Masjid Negeri, iktiqaf, membaca al-quran dan menyelesaikan solat dhuha. Jam menunjuk hampir 8.00 pagi. Aku segera bangun menuju ke rak kasut no 11 . Sambil menyarung stokin, sempat pula memerhati deretan kereta mewah berhampiran. Pagi itu ada kelas al-quran. Barangkali ramai orang kaya yang hadir kelas al-quran  itu.Aku sempat juga ‘snap’ sebuah porshe kuning yang diparking berhampiran.

Kemudian aku berjalan semula menuju ke komplek kesenian Islam yang jaraknya hampir satu kilometer dari masjid itu. Tiba di sana Dr.Zam sudah kelihatan  keluar dari keretanya. Dr.Zam adalah COO  (Chief Operating Officer) kepada Faculty Of Science and Health Education, OIUCM.(Open International University For Complementary Medicines)

Kelihatan juga seorang peserta sedang duduk menunggu di pintu gerbang komplek itu dibuka. Setelah berkenalan, dia meminta nombor telefonku. Pada ketika itulah aku baru perasaan blackberry itu tiada. Aku bergegas ke tempat kasut di masjid tadi. Tiada. Berjalan pulang sambil memerhati jejak…, juga tiada.

Lalu aku teringat kepada petikan nota pada kelas asas itu.

“Masalah, penyakit, tekanan dan pelbagai lagi kerumitan hidup sentiasa berlegar-legar tenaga hayatnya selagi wujudnya alam maya ini. Manusia tidak dapat lari dari tekanan hidup seterusnya penyakit akut, serius mahupun membawa kepada maut. Begitu jugalah kehidupan organisasi sel yang sentiasa tercemar atau terdedah kepada virus hingga membawa kepada kemusnahan.

Revolusi Teknologi Energi /RTE berhasrat memupuk dan mendidik masyarakat dalam pengamalan pengubatan sendiri dengan kaedah misteri dalam revolusi tenaga hayat semulajadi dalam “pertimbangan sunnah” agar lebih peka dan berilmiah dengan cara bertertib mengikut peraturan alam yang telah disusun sangat rapi oleh Maha Pencipta.”

“Benar, tekanan dan pelbagai kerumitan hidup sentiasa berlegar-legar…” Bisiku dan redha dengan kejadian kehilangan hp itu.

Lalu aku membuka pula nota modul 1 Diploma RTE yang dibekalkan kepada setiap pelajar.

Modul 1

Kerelatifan tenaga hayat, masa dan jirim

- Manusia dan teori binaan asas jirim

- Perbandingan di antara fizik klasik dan fizik moden

- Perhubungan di antara fizik dan Pertimbangan Sunnah melalui konsep masa, ruang, cahaya, warna dan bunyi.

- Tenaga sebagai jisim (ukuran), gelombang (frekuensi) dan suhu

*pergerakan tenaga tubuh/pergerakan alam

*tenaga dan jisim kerohanian

*masa adalah unik(kompleks) bagi setiap kejadian/Penciptaan

- Aplikasi konsep masa dalam perawatan Pertimbangan Sunnah

- Sel dan Tenaga

” Setiap kejadian Allah semuanya memberikan manfaat kepada manusia makhlukNya dalam apa jua bentuk masa dan keadaannya. Oleh kerana setiap kewujudan adalah di dalam bentuk jisim(benda), maka  setiap jisim juga mempunyai tenaga kerohaniannya sendiri….”

Memahami idea di atas, aku segera berlapang dada dan berdoa agar hikmah peristiwa itu dapat aku fahami….(bersambung )



Posted in  Diari Aku & Motivasi   /   1 Comment