Archive for September 5th, 2010

“Fathuri buka di sini?” Tanya Cikgu Yusuf selepas solat Asar.

“InsyaAllah cikgu, saya buka di sini ,  akan masak nasi dan bawa ke mari ” Jawabku

Pulang ke rumah aku tenggelam dalam kerja-kerja pejabat. Tersentak melihat jam di pc hampir 2 minit jam 7.00 malam. Aku meluru ke dapur menceduk 5 cawan beras, membasuh dan mengisi air (sedalam setengah jari telunjuk dari permukaan beras/petua masak nasi dengan sukatan yang air yang tepat). Jam sudah menunjuk ke angka 7.05 . Aku bergegas ke luar mencari gerai paling hampir untuk membeli lauk pula.

Tiba di kampung baru (Besut), kelihatan gerai ayam golek sudah ditutup, dan gerai-gerai lain juga sedang giat berkemas. Aku jadi hairan. Sambil membeli “tuko” (pari kecil ) aku bertanya kepada penjual.

“Pukul berapa maghrib hari ini kak?”

“Waktu berbuka hari ini pukul 7:16 mlm” Jawab kakak penjual

Aku melihat jam sudah menunjuk ke angka 7:10 minit.

“Oh!…sempat ke nasi itu masak?” Getusku dalam hati

Aku tiada pilihan lain, kecuali membanyakkan zikir dan berdoa(dalam hati) mohon Allah selesaikan masalah ini. Dalam perjalanan pulang, aku singgah dengan  cepat membeli dua bungkus air soya dan segera  memecut kereta menuju ke masjid. Kedengaran suara Pak Hamid sedang melaungkan azan, manakala Cikgu Yusuf dengan duduk bersila, berseorangan.

“Eh mana yang lain….Biasanya ada 8 orang..?” bisikku

” Saya baru menanak nasi pukul 7 tadi cikgu. Lupa….InsyaAllah lepas kita solat maghrib nanti masaklah tu” kataku tanpa ditanya

Tidak lama kemudian datang Pak Hamid menyertai kami. Maka berbukalah kami dengan kurma dan sedikit kueh mueh. Lazimnya usai solat Maghrib baru makan nasi(di dulang). Begitulah budaya berbuka di Masjid Ar-Raudah yang aku perhatikan sejak 3 tahun yang lepas. Lazimnya Hj Nasir adalah “pembekal utama” juadah berbuka, sering datang dengan bekas 5 tingkatnya. Namun tahun ini Hj. Nasir jarang-jarang kelihatan. Aku maklum. Setelah ayahnya meninggal pada awal Ramadhan, Hj Nasir perlu menjaga pula ibunya yang sedang sakit. Bermaksud perlu berulang-alik dari Kem TUDM Gong Kedak ke Kota Bharu setiap hari.

Selesai menjamah makanan ringkas, kami bertiga solat Maghrib. Selesai sahaja salam , aku berdoa ringkas dan terus meluru ke kereta untuk pulang mengambil nasi di rumah.

“Semuanya Allah sudah atur. Nampaknya rezeki kita makan nasi panas-panas hari ini” Kata Pak Hamid bersahaja.

Aku tersenyum mengangguk, setuju.

“Benar, kita sahaja yang sering panik, padahal semua asbab rezeki itu sudah Allah program. Kita cuma perlu bersyukur atau bersabar dengan hasil yang sudah diusahakan…” Bisikku di dalam hati

“Alhamdulillah, masak juga nasi ini…” Syukurku dalam hati

**********************

Aku membelek lagi halaman seterusnya

Allah SWT  telah memberikan kepada kita segala keperluan asas untuk hidup. Allah berikan akal dan sebab-sebab yang membolehkan kita mendapatkan kehidupan yang lebih selesa. Kemudian Allah meminta kita supaya memikirkan tanda-tanda kebesaranNya di alam semesta ini.


Jangan sampai kita lalai apabila melihat tanda-tanda kebesaran ini. Oleh kerana itu, segala kemajuan berlaku terhasil daripada usaha cerdik pandai yang mahu memikirkan tanda-tanda kebesaran Allah pada alam maya ini. Mereka berupaya mendapat rahsia undang-undang alam yang ditetapkan oleh Allah, dan mereka menggunakannya untuk mencapai kemajuan dalam hidup mereka. Inilah yang dinamakan ilmu, iaitu mengambil manfaat daripada tanda-tanda kebesaran Allah di bumi.

Namun apakah Allah menciptakan kita hanya sekadar untuk menikmati sebab-sebab yang disediakannya di bumi ini semata-mata? Tidak, sesungguhnya usaha ini adalah satu tahap perjalanan yang panjang. Dalam tahap perjalanan mengambil sebab-sebab yang ada di alam ini, maka tentulah kita merasa letih dan perlu berehat.

Orang yang berjaya mempersembahkan ciptaan-ciptaan baru untuk kegunaan manusia tentulah terpaksa melalui keletihan sebelum berjaya mencapainnya. Mungkin mereka sampai tidak tidur malam berusaha keras untuk mencapai apa yang mereka idamkan.Inilah undang-undang dunia. Untuk berjaya anda perlu belajar, dan untuk mendapat gaji atau upah anda perlu bekerja.

Undang-undang akhirat(Syurga) cuma perlu berniat sahaja, maka segalanya pasti tersedia di depan mata… Namun, untuk mendapatkan kemewahan hidup di akhirat lebih perlu lagi berusaha keras….” Bisikku

Bersambung…


Posted in  Diari Aku & Motivasi   /   4 Comments