Archive for the ‘Diari Aku & Motivasi’ Category

Hp dalam mode senyap itu bergetar. Ada panggilan masuk. Aku perhatikan jam pada skrinnya. Jam 22:23

” Fathuri datang iktiqaf malam ini?” Tanya cikgu Yusuf

“InsyaAllah, Cikgu di mana?”

“Saya sudah turun dari rumah, mahu ke sana” Jawab Cikgu Yusuf

“Ok, kalau macam itu, saya tunggu Fathuri di masjid”

Kemudian aku kembali berbaring, sambil menyelak-nyelak buku di tangan. Sebentar membaca, sebentar lagi mengelamun.

Hujung bulan Oktober tugasku di dalam kem ini akan berakhir. Barangkali sekitar November kerja-kerja penyerahan bangunan kepada pihak kem TUDM selesai. Maka, aku tidak lagi menjadi warga kem yang eksklusif ini. Aku akan tinggal di luar kem, meneruskan langkah menangani projek yang lain pula. Kemungkinan besar tentunya projek tanaman kenaf.

Peristiwa dan insiden sepanjang 3 tahun tinggal di dalam kem datang menerjah ingatan. Banyak yang manis. Pelbagai insiden yang menambah pengalaman dan mematangkan fikiran datang silih berganti. Apatah lagi bila berpeluang tinggal bersama 35 buah keluarga Rusia. Mengenali, adat mereka. Memerhati  mereka bersosial, berkeluarga  dan budaya kerja . Mengamati akhlak, dan cara fikir mereka sepanjang 3 tahun memberi sedikit input untuk membuat perbandingan antara bangsa negara maju dan sebaliknya.

Mengenang pengalaman itu, seperti mahu membuat kesimpulan begini: Budaya dan akhlak “mat saleh” yang ditonjolkan di tv bukan realiti. Mereka jauh lebih lemah lembut dan sopan tidak seperti yang sering digambarkan melalui lakonan artis di filem-filem. Malah ada beberapa orang dari mereka sangat merendah diri orangnya.

Aku sering terkesan dengan akhlak Mr.Konnov. Beberapa kali aku  bersamanya menyelesaikan insiden-insiden yang menguji kesabaran. Namun, sikap Mr. Konnov yang suka mendengar, ketelitiannya mengeluarkan perkataan dan sikapnya yang tenang telah berhasil meleraikan apa jua insiden yang datang. Mr.Konnov adalah ketua warraty team projek jet  sukhoi.

Aku juga banyak belajar dari kawan-kawanku. Kebanyakan kawan-kawanku umurnya jauh lebih tua dariku. Bersahabat dengan mereka sangat menguntungkan. Aku seolah mendapat jalan “short cut” bagaimana melihat dan menangani hidup dan kehidupan ini.

Teringat pula pada sms yang diterima dari Dr. Jaffry

“…pokok kerumitan sudah pastilah lemahnya iman, namun mengerti erti keseimbangan tentang kaedah pertimbangan sunnah sudah memadai untuk mentaati perintah Tuhan dan secara langsung menarik  rahmat Allah”

Aku cuba memahami ayat di atas. Padaku ia boleh dimaksudkan begini:

Punca kesusahan dan masalah adalah kerana lemahnya iman. Mengapa? Bila iman lemah, seseorang akan cenderung melakukan sesuatu yang tidak Allah redha . Melakukan sesuatu yang tidak Allah redha menghasilkan natijah kesusahan dan masalah. Ia bukan bermaksud kerana Allah marah semata-mata.

Hakikatnya Allah Maha Penyayang. Sayang Allah pada seseorang itu, 70 kali ganda lebih  dari sayang ibu kepada anaknya. Ini fakta. Kesusahan dan masalah yang ditimpakan , bermaksud agar seseorang itu kembali berfikir dan kembali kepada rahmat Allah. Hanya bila dipayungi oleh rahmat Allah hidup seseorang itu akan aman tenteram.

Justeru, apakah formula agar sentiasa berada di bawah rahmat Allah ?

Jawapannya : Sentiasa amalkan sunnah nabi

Setiap hari seseorang itu masuk ke tandas. Apakah sudah diamalkan sunnah masuk tandas?

Setiap hari seseorang itu bercermin muka. Sudahkah diamalkan sunnah bercermin muka?

Setiap hari seseorang itu bertemu seseorang lainnya. Sudahkah diamalkan sunnah memberi salam?

Sesungguhnya sunnah itu sangat luas. Bermula dengan niat ingin mengamalkan sunnah, maka bermulalah insiden baik dalam ruang dan masa seseorang.

Salah satu sikap Mr. Konnov yang ketara ialah , dia suka senyum…

“Mr. Konnov tidak tahu sunnah, namun bila dia mengamalkan sunnah (walaupun secara tidak sengaja kerana tidak tahu) maka Mr. Konnov juga  berjaya mendapat natijah baiknya” Bisikku

Posted in  Diari Aku & Motivasi   /   No Comments  

Matahari agak terik. Azan Zuhur selesai dilaungkan. Aku parkir kereta di tempat biasa, di luar pagar Masjid Ar-Raudah TUDM Gong Kedak.

” Eh, apa makcik buat di sini, panas makcik….” Tegurku pada seorang makcik yang bersimpuh di bucu pintu gate masuk ke masjid itu.

“Makcik nak jumpa imam masjid” Jawabnya perlahan

“Makcik datang dengan siapa” Tanyaku lagi

“Ada teksi hantar tadi”

Aku perhatikan makcik tua itu. Makcik tidak berselipar. Kulitnya gelap. Menyerlahkan lagi kesusahannya.  Tangan kanannya menggenggam tongkat berkaki empat. Kelihatan susah benar apabila hendak bangun dan berjalan. Aku memimpin tangan makcik.

“Kita masuk masuk masjid dulu ya makcik, Imam sedang solat tu. Makcik solat dulu, insyaAllah nanti Allah bantu” Sambungku sambil memimpin tangan makcik masuk ke dalam masjid.

Bila aku menyertai imam sudah sampai ke raakat terakhir. Selesai berdoa, aku meluru ke arah ruang solat wanita.

“Makcik sudah solat?” Tanyaku

“Sudah”

“Lepas ini makcik nak ke mana?”

Aku perhatikan makcik dengan teliti. Kelihatan makcik ini seperti tidak mahu menyusahkan sesiapa. Namun hati kecilku seolah berbisik agar terus bertanya.

“Makcik ambil ini ya, hadiah dari saya…..makcik nak ke mana lepas ini.?.. InsyaAllah saya boleh tolong hantarkan”

Makcik mengeluarkan satu kertas kuning yang tertera alamat ‘Pusat Urusan Zakat, Jerteh’. Hatiku luruh bila membaca alamat itu. Apatah lagi bila makcik mula membahasakan dirinya  “mak” dan memanggilku “Anak”. Ternyata makcik ini benar-benar memerlukan bantuan.

“Makcik tunggu di sini ya, saya akan bawa kereta ke mari. Kita pergi ke sana” Pujukku

Tiba di pejabat itu. Aku memaklumkan hal makcik itu kepada pegawai terbabit. Malangya nama makcik tiada di dalam senarai khabarnya. Bermakna, makcik tidak dapat apa yang diharapkannya. Mujur salah seorang pegawai yang berhati mulia itu, menghulurkan bantuan peribadinya, beserta sekampit beras.

“Saya hantar makcik pulang ya? Atau makcik mahu ke mana-mana lagi, saya boleh hantar”

Aku membawa makcik itu pulang ke rumah. Makcik ini tinggal berseorangan. Aku meletakkan sekampit beras tadi, di sebelah pintu masuk. Aku mohon pergi, namun makcik bersungguh-sunguh mahu agar aku menunggu sebentar. Aku dapat rasakan makcik ingin memberikan sesuatu. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu menerimanya, namun bimbang makcik kecil hati pula. Akhirnya aku akur, agak lama aku menunggu di luar rumah itu.

Kemudian makcik keluar membawa bungkusan makanan yang berisi kueh raya dan keropok.

“Oh! makcik..tidak perlu susah-susah, saya memang patut membantu makcik. Tidak perlu balas begini makcik” balasku

Tapi makcik berkeras mahu aku menerimanya juga. Aku terpaksa mengambilnya dengan hati yang agak berat.

***********************

“Dan kueh raya yang sedang tuan-tuan makan ini adalah pemberian dari makcik itu. Pernahkah tuan terfikir akan rezeki ini? Tidak terlintas langsung kan? Beginilah halnya dengan gagasan kita ini. Kita tidak tahu apakah natijah atau hasilnya. Namun percayalah, dengan kerja berjemaah dan niat yang benar, pasti dan pasti akan hadir bantuan dari Allah. Apa, bila dan bagaimana bantuan itu akan tiba hanya Allah yang tahu. Tugas kita sekadar melakukan apa yang terdaya kita buat” Kataku kepada rakan-rakan pada mesyuarat sulung malam tadi.

“Kita cari dulu lokasi cadangan 4 unit lot kedai untuk mendirikan Bazaar Halalan Toyyiba, sebagaimana yang diminta oleh Dato’, kemudian kita set up organisasi….” Kataku bila diminta buah fikiran  oleh Tuan Amir.

Aku sendiri tidak tahu bagaimana kesudahan skrip ini. Aku dilantik sebagai timbalan amir wilayah Kelantan gagasan Amalan kesogehan oleh Dato’ Dr. Rusly. Aku rasakan memang tidak layak sungguh. Namun memandangkan itu pilihan Allah, aku sedaya upaya berfikir positif dan cuba menyemarakkan semangat yang sama kepada rakan-rakan.

******************

Aku menyambung bacaan buku “Berakhirnya usia dunia” cetusan minda Syeikh Muhammad Mutawalli Al-Sya’rawi

Untuk melayakkan anda mendapat kurniaan uluhiyah/ketuhanan maka  anda mesti berusaha keras dan beramal dengan amalan-amalan soleh semasa di dunia. Anda hendaklah mengikuti pedoman manhaj Allah /methode Allah untuk membolehkan anda berehat sambil mengecapi kenikmatan-kenikmatan yagn disediakan oleh Allah di akhirat.


Seletih mana pun anda di dunia ini atau sebanyak mana pun nikmat yang anda kecapi, maka anda tidak dapat lari daripada kehilangan keletihan dan nikmat itu dengan sebab mati, atau kekurangan nikmat tersebut. Akan tetapi di akhirat nanti, Allah menjadikan kenikmatan-kenikmatan itu kekal abadi jika anda sanggup melalui keletihan -keletihan beramal dengan manhaj_Nya semasa di dunia.


Secara ringkas, kami mengatakan: Manhaj/methode keimanan menuntut setiap orang semakin meningkat pencapaian ilmunya agar semakin meningkat pula iman dan khusyuknya kepada Allah. Kita wajib menyandarkan segala sesuatu yang ada di alam maya ini kepada Penciptanya iaitu Allah SWT.


Kita wajib tahu bahawa tidak mungkin kita mencapai kemajuan atau meningkat taraf hidup di dunia ini melainkan kerana Allah telah menyediakan segala rahsia dan peraturan di alam ini yang boleh diterokai.

Posted in  Diari Aku & Motivasi   /   3 Comments  

“Fathuri buka di sini?” Tanya Cikgu Yusuf selepas solat Asar.

“InsyaAllah cikgu, saya buka di sini ,  akan masak nasi dan bawa ke mari ” Jawabku

Pulang ke rumah aku tenggelam dalam kerja-kerja pejabat. Tersentak melihat jam di pc hampir 2 minit jam 7.00 malam. Aku meluru ke dapur menceduk 5 cawan beras, membasuh dan mengisi air (sedalam setengah jari telunjuk dari permukaan beras/petua masak nasi dengan sukatan yang air yang tepat). Jam sudah menunjuk ke angka 7.05 . Aku bergegas ke luar mencari gerai paling hampir untuk membeli lauk pula.

Tiba di kampung baru (Besut), kelihatan gerai ayam golek sudah ditutup, dan gerai-gerai lain juga sedang giat berkemas. Aku jadi hairan. Sambil membeli “tuko” (pari kecil ) aku bertanya kepada penjual.

“Pukul berapa maghrib hari ini kak?”

“Waktu berbuka hari ini pukul 7:16 mlm” Jawab kakak penjual

Aku melihat jam sudah menunjuk ke angka 7:10 minit.

“Oh!…sempat ke nasi itu masak?” Getusku dalam hati

Aku tiada pilihan lain, kecuali membanyakkan zikir dan berdoa(dalam hati) mohon Allah selesaikan masalah ini. Dalam perjalanan pulang, aku singgah dengan  cepat membeli dua bungkus air soya dan segera  memecut kereta menuju ke masjid. Kedengaran suara Pak Hamid sedang melaungkan azan, manakala Cikgu Yusuf dengan duduk bersila, berseorangan.

“Eh mana yang lain….Biasanya ada 8 orang..?” bisikku

” Saya baru menanak nasi pukul 7 tadi cikgu. Lupa….InsyaAllah lepas kita solat maghrib nanti masaklah tu” kataku tanpa ditanya

Tidak lama kemudian datang Pak Hamid menyertai kami. Maka berbukalah kami dengan kurma dan sedikit kueh mueh. Lazimnya usai solat Maghrib baru makan nasi(di dulang). Begitulah budaya berbuka di Masjid Ar-Raudah yang aku perhatikan sejak 3 tahun yang lepas. Lazimnya Hj Nasir adalah “pembekal utama” juadah berbuka, sering datang dengan bekas 5 tingkatnya. Namun tahun ini Hj. Nasir jarang-jarang kelihatan. Aku maklum. Setelah ayahnya meninggal pada awal Ramadhan, Hj Nasir perlu menjaga pula ibunya yang sedang sakit. Bermaksud perlu berulang-alik dari Kem TUDM Gong Kedak ke Kota Bharu setiap hari.

Selesai menjamah makanan ringkas, kami bertiga solat Maghrib. Selesai sahaja salam , aku berdoa ringkas dan terus meluru ke kereta untuk pulang mengambil nasi di rumah.

“Semuanya Allah sudah atur. Nampaknya rezeki kita makan nasi panas-panas hari ini” Kata Pak Hamid bersahaja.

Aku tersenyum mengangguk, setuju.

“Benar, kita sahaja yang sering panik, padahal semua asbab rezeki itu sudah Allah program. Kita cuma perlu bersyukur atau bersabar dengan hasil yang sudah diusahakan…” Bisikku di dalam hati

“Alhamdulillah, masak juga nasi ini…” Syukurku dalam hati

**********************

Aku membelek lagi halaman seterusnya

Allah SWT  telah memberikan kepada kita segala keperluan asas untuk hidup. Allah berikan akal dan sebab-sebab yang membolehkan kita mendapatkan kehidupan yang lebih selesa. Kemudian Allah meminta kita supaya memikirkan tanda-tanda kebesaranNya di alam semesta ini.


Jangan sampai kita lalai apabila melihat tanda-tanda kebesaran ini. Oleh kerana itu, segala kemajuan berlaku terhasil daripada usaha cerdik pandai yang mahu memikirkan tanda-tanda kebesaran Allah pada alam maya ini. Mereka berupaya mendapat rahsia undang-undang alam yang ditetapkan oleh Allah, dan mereka menggunakannya untuk mencapai kemajuan dalam hidup mereka. Inilah yang dinamakan ilmu, iaitu mengambil manfaat daripada tanda-tanda kebesaran Allah di bumi.

Namun apakah Allah menciptakan kita hanya sekadar untuk menikmati sebab-sebab yang disediakannya di bumi ini semata-mata? Tidak, sesungguhnya usaha ini adalah satu tahap perjalanan yang panjang. Dalam tahap perjalanan mengambil sebab-sebab yang ada di alam ini, maka tentulah kita merasa letih dan perlu berehat.

Orang yang berjaya mempersembahkan ciptaan-ciptaan baru untuk kegunaan manusia tentulah terpaksa melalui keletihan sebelum berjaya mencapainnya. Mungkin mereka sampai tidak tidur malam berusaha keras untuk mencapai apa yang mereka idamkan.Inilah undang-undang dunia. Untuk berjaya anda perlu belajar, dan untuk mendapat gaji atau upah anda perlu bekerja.

Undang-undang akhirat(Syurga) cuma perlu berniat sahaja, maka segalanya pasti tersedia di depan mata… Namun, untuk mendapatkan kemewahan hidup di akhirat lebih perlu lagi berusaha keras….” Bisikku

Bersambung…


Posted in  Diari Aku & Motivasi   /   4 Comments  

Cuti sekolah bermula. Petang semalam aku menghantar isteri dan anakku Abu Bakar As-Siddiq pulang ke kampung. Di perjalanan singgah membeli ayam golek buat oleh-oleh berbuka puasa bersama ayah dan ibu mertuaku.

“Wah! baunya semerbak la bang….” Ujar isteriku

“Ehem!, kali ini nampaknya Ani ada rezeki makan yang golek, yang kecil dan manis…tidak seperti hari itu…” Usikku kepada isteri

Usai solat Maghrib aku bertolak kembali ke kem. Diperjalanan singgah di Tok Bali solat Isyak. Hujan mula turun.

“Malam ini malam ganjil, malam yang ke 25 ” bisikku dalam hati.

******************

Aku menyelak lagi helaian buku karangan ulama Mesir yang tersohor itu,

Kepada mereka mereka yang terpedaya dengan pencapaian ilmu manusia, saya mengatakan: Ilmu yang sedikit yang diberikan oleh Allah kepada manusia telah berupaya menghasilkan segala tamadun dan kemajuan yang melimpah ruah seperti yang kita lihat hari ini dan bakal dilihat oleh generasi seterusnya sampai kiamat.


Jika ilmu yang sedikit itu dapat menghasilkan semua ini, maka cuba bayangkan apakah yang bakal Allah sediakan kepada kita pada hari akhirat dengan ilmu-Nya sendiri?


Jadi, kemajuan ilmu sepatutnya menambahkan keimanan kita kepada Allah. Kita sepatutnya lebih khusyuk dan tunduk kepadaNya kerana kita hanya berada di alam sebab musabab. Di alam ini kemampuan manusia untuk mendapatkan sebab-sebab yang disediakan oleh Allah tidak sama.


Sesungguhnya Allah menghulurkan sebab-sebab untuk semua makhlukNya. Orang yang mengambil sebab-sebab itu dengan sungguh-sungguh maka dia berjaya menandingi orang lain.


Kawasan bumi yang diteroka oleh manusia, kemudian dibajak dan disemai dengan semaian yang baik akan memberikan kepadanya hasil yang baik. Orang yang membiarkan bumi tanpa dibajak dan ditanami maka bumi itu tidak akan memberikan apa-apa kepadanya. Jadi apa yang diperoleh oleh mereka adalah kerana pemberian ketuhanan.


Di alam maya ini Allah menciptakan berbagai-bagai  benda yang boleh bertindak balas untuk anda berbagai benda yang bertindak balas  dengan usaha anda.


Benda-benda yang bertindak balas untuk anda memberikan sumbangan kepada anda tanpa sebarang pertukaran atau usaha dari anda. Ia hanya semata-mata pemberian yang tidak perlu diusahakan oleh anda. Matahari,bulan dan bintang, dan kerongsong udara semuanya memberikan sumbangan kepada anda tanpa anda perlu berusaha atau bekerja. Pemberiannya adalah sama rata kepada semua. Tidak ada yang mendapat lebih daripada orang lain.


Benda-benda yang bertindak balas dengan usaha anda ialah semua yang ada di bumi. Apabila anda  membajak bumi dan menabur benih, maka bumi akan mengeluarkan hasil buah-buahan kepada anda. Jika anda menggali ke perut bumi, anda akan menemui petrol dan bahan-bahan galian lain yang terdapat di situ. Jika anda tidak berbuat demikian maka bumi tidak akan memberikan perbendaharaannya kepada anda.

Dua perengang di atas telah mengusik hatiku dan mencetuskan fikir bagaimana untuk mengaitkan dengan kefahaman mengapa kemajuan manusia ini berbeza-beza. Aku menyambung bacaan.

Sesungguhnya kemajuan hidup di dunia dan ketidaksamaan antara satu negara dengan satu negara berpunca daripada benda-benda yang bertindak balas dengan usaha anda. Sesiapa yang bekerja keras dan berusaha bersungguh-sungguh, maka dia akan meningkat maju dalam memperolehi sebab-sebab yang disediakan oleh Allah. Dia akan maju daripada bangsa-bangsa yang lain. Sesiapa yang tidak berusaha, maka dia tidak akan mendapat apa-apa hasil.


Sebagai orang yang beriman, kitalah yang sepatutnya meningkat naik untuk mendapatkan pemberian Tuhan ini. Kita perlu mengambil sebab-sebab yang disediakan oleh Allah supaya dapat mencapai pemberian ketuhanan tersebut. Akan tetapi kita tidak berbuat demikian, dan kita membiarkan orang lain yang mendaki sebab-sebab itu, sementara kita tidak berbuat apa-apa.


Bangsa-bangsa yang mengambil sebab-sebab itu dikurniakan oleh Allah penguasaan ke atas dunia walau pun mereka orang kafir.

Membaca perenggan di atas, seoalah menepuk air di dulang. Aku benar-bernar terkena percikan air itu!. Benar, orang kafir yang berusaha bersungguh-sungguh  sehingga mampu menguasai bahasa Arab, malah beroleh ilmu yang hebat-hebat dari Al-Quran. Orang Islam yang tidak berusaha ke arah itu tetap buta bahasa Arab sehingga ke penghujung hayatnya. Sedang bahasa Arab itu adalah bahasa Al-Quran, sign board ke Syurga.

“Bagaimana pula dengan soal ekonomi? ” Bisik hatiku

Allah telah mengadakan air untuk diminum, buah-buahan untuk dimakan, udara untuk bernafas dan bumi untuk didiami. Semua ini termasuk dalam keperluan asas hidup yang manusia boleh mendapatinya sejak ia mula diciptakan atas muka bumi ini tanpa perlu berusaha mengadakannya.


Tetapi jika saya inginkan kehidupan yang lebih selesa dan meningkat, maka saya mestilah bekerja menggunakan akal yang Allah ciptakan untuk saya. Saya mesti bekerja di alam yang Allah ciptakan dan tundukkan untuk saya. Dengan cara itu barulah saya dapat mengecapi kehidupan yang lebih selesa dan mewah, iaitu kehidupan yang mana keperluan kita dapat diperolehi dengan penggunaan tenaga dan masa yang minumum.

“Oh! Indahnya kata-kata itu. Ia  menjawab konflik golongan yang berselindung di sebalik alasan  seolah “kemiskinan dan melarat  itu lebih mulia” untuk menyembunyikan sikap pemalas dan pesimisnya..walhal “ruyung pun  belum cuba dipecahkan…”

Teringat pula sms dari Dr. Jaffry

“Untuk berjaya perlulah melalui onak dan duri. Itu sunnah alam…”

“Semoga aku terlindung dari menjadi seorang Islam yang lemah….” bisikku

Bersambung…

Posted in  Diari Aku & Motivasi   /   1 Comment  

Aku terus menyelak ke halaman seterusnya. Hujah-hujah yang dilontarkan oleh penulis segar dan bersahaja. Ia membuat aku tidak mahu berenggang dengan buku itu.

Pada masa dahulu kita terpaksa menaiki tangga untuk sampai ke tingkat-tingkat atas bangunan. Ini adalah satu kerja yang berat (menaiki tangga). Maka sekarang kita mempunyai kemudahan lif yang dapat membawa kita naik ke tingkat teratas pada waktu yang lebih singkat dan penggunaan tenaga yang minimum.

Pada masa dahulu kita pergi ke suatu tempat dengan berjalan kaki. Sekarang kita menaiki kereta, kapal terbang dan pengangkutan-pengangkutan lain yang moden dengan penggunaan tenaga dan masa yang minimum.

Namun setiap kali manusia melihat kepada kemajuan ini mereka pula menyembah dunia.

Allah SWT menyebut tentang hikmah di sebalik Dia menciptakan makhlukNya. DiberitahuNya bahawa hidup ini adalah tempat untuk ujian kepda kita supaya kita membuktikan bahawa kita melakukan ketaatan, ibadat dan beriltizam dengan peraturan Allah dengan sebaik-baiknya.

Bila menyebut tentang perkataan ujian ini aku teringatkan perbualan dengan Dr. Jaffry sebentar tadi.

“Tertib menerima ujian adalah Tawakal kemudian ikhtiar dan bukan sebaliknya….”

Aku berkongsi dengan isteriku berkenaan ilmu baru ini.

“Iya ke bang..? yang biasa kita dengar Ikhtiar, doa,  kemudian tawakal…”

“Benar, itulah sunnah…cuba Ani baca dan kaji hadis bagaimana kisah Nabi dan para sahabat berhadapan dengan ujian…” Sambungku

“Kalau nak lebih faham lagi, cuba amalkan sunnah. Maksudnya, bila Ani ditimpa musibah atau ujian, segera ambil air sembahyang, solat hajat dua rakaat, kemudian mohon pada Allah jalan keluar…dan perhatikanlah bagaimana hebatnya Allah menyelesaikan musibah/masalah itu dengan cara yang tidak terfikir oleh akal kita…” Sambungku lagi

“Musibah dan ujian berlaku pada setiap ruang dan keadaan. Menyelesaikan ujian dengan pertimbangan sunnah pasti dan pasti ada kejayaan…” Kataku sambil menutup kueh raya dan seraya bangun dari meja makan di dapur.

Jam menghampiri pukul 1 pagi…

Posted in  Diari Aku & Motivasi   /   3 Comments  

Kalau kita hendak mengetahui apakah roh, maka kita hanya boleh mengatakan roh adalah rahsia ketuhanan yang memberikan kehidupan kepada material.

Atau boleh juga kita katakan roh adalah kehendak Allah untuk menghidupkan kita, maka apabila Allah menarik balik kehendak ini, berakhirlah kehidupan di tahap dunia ini.

Kematian itu bukanlah kesudahan bagi kehidupan ini, malah ini adalah kesudahan bagi satu episod dalam perkelanaan ini. Kematian juga adalah pemulaan bagi episod yang baru yang mempunyai undang-undang dan kehidupannya, yang mana Allah jua Yang Maha mengetahuinya.

Kita telah terangkan bahawa manusia boleh berpindah daripada satu undang-undang kepada undang-undang yang lain pada satu detik sahaja. Apabila manusia meletakkan kepalanya di bantal dan tubuhnya di atas katil maka dalam satu detik dia tertidur, dia dapat berpindah daripada satu undang-undang kepada undang-undang yang lain. Inilah apa yang telah kami jelaskan.

Maka apabila dia terjaga daripada tidurnya, maka saat itu juga dia berpindah daripada undang-undang tidur kepada undang-undangn jaga. Kedua-dua undang-undang ini berbeza sama sekali.

Dalam hidupnya, setiap hari manusia berubah. Manusia tunduk kepada sistem-sistem yang sedikit pun kita tidak mengetahui tentangnya. Pada masa manusia jaga, ada sistem untuknya dan pada masa dia tidur, ada sistem lain pula untuknya yang kita tidak mengetahuinya.

Oleh kerana itu, apabila manusia tidur, maka dia akan melihat(bermimpi) perkara-perkara yang tidak masuk akal. Dia melihat dirinya bercakap dengan beberapa orang yang sudah pun terlebih dahulu meninggal dunia sejak beberapa tempoh yang lama, atau dia melihat dirinya tercampak dari bukit yang tinggi tetapi tidak membahayakan dirinya sedikit pun.

Dia melihat dirinya berkelana ke penghujung dunia tetapi dapat kembali semula dalam masa beberapa minit sahaja. Tatkala dia berjalan itu, kakinya tetap berada di atas katil tidak bergerak-gerak. Tatklala dia bercakap itu, lidahnya tetap tidak bergerak. Adakalanya dia melihat dia sedang diseksa atau diberi nikmat.

Semua ini berlaku dalam satu ketika sahaja. Perpindahan manusia dari undang-undang sedar kepada undang-undang tidur adakalanya berlaku tidak sampai satu minit. Hal ini menyebabkan kita dapat mengetahui bahawa perpindahan manusia daripada satu sistem kepada sistem lain yang berbeza sama sekali merupakan satu operasi yang mudah dilaksanakan oleh Allah SWT. Apabila kita membaca Al-Quran kita akan menemui firman Allah:

Maksudnya:

“Allah(yang menguasai segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya; dan jiwa orang yang tidak mati; dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya)  sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungghuhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya) (Surah Az-Zumar ayat 42)

Oleh itu, perpindahan manusia dari alam sedar ke alam tidur adalah mirip seperti berpindahnya dia daripada hidup kepada mati. Namun begitu, segala undang-undang dalam alam tersebut adalah berbeza-beza. Orang yang tidur akan dikembalikan roh kepada jasadnya apabila dia terjaga, sementara orang yang mati hanya akan dikembalikan roh kepada jasadnya pada hari kiamat kelak.

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya:

‘Demi diriku yang berada dalam kekuasaanNya sesungguhnya kamu pasti mati sebagaimana kamu tidur, dan kamu pasti akan dibangkitkan sebagaimana kamu terjaga dari tidur, dan kamu pasti akan dihisab terhadap apa yang kamu kerjakan. Kamu pasti akan dibalasi, kebaikan dibalas dengan kebaikan dan kejahatan dibalas dengan kejahatan. Balasannya sama ada syurga selama-lamanya atau neraka selama-lamanya (Ibn -Athir)

Orang yang mati, tatkala di saat nazaknya, maka dia melihat perkara yang tidak dapat dilihat oleh manusia disaat tidurnya. Dia akan melihat malaikat dan segala perkara yang dahulunya tertutup daripada pandangannya. Dia akan mengetahui tempat kembalinya sama ada ke syurga atau neraka….

Bersambung…

Posted in  Diari Aku & Motivasi   /   3 Comments  

..Dia dapati tatkala orang itu meninggal dunia di saat rohnya keluar dari jasad, manusia itu kehilangan sedikit beratnya. Selepas ujikaji si saintis ini berkata: Roh itu mempunyai timbangan berat yang terlalu halus yang tidak sampai satu juzuk daripada seratus gram. Si saintis mendakwa bahawa roh mempunyai timbangan yang sangat ringan. Dakwaannya itu bertujuan untuk menetapkan bahawa roh adalah jirim material yang mempunyai timbangan yang sangat seni dan halus.


Di sana ada saintis yang menolak kewujudan roh dan mengatakan bahawa apa yang ada hanyalah zaman atau tabiat semulajadi. Sebahagian mereka cenderung kepada falsafah-falsafah lain dengan mengatakan bahawa roh itulah yang memberikan kehidupan kepada tubuh. Tentang roh ini, Allah SWT menyebutkan di dalam kitab-Nya:


“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah, Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja. (Surah al-Isra’ ayat 85)


Kita wajib mengetahui bahawa di sana terdapat roh, dan di sana juga ada jasad, di sana ada jiwa iaitu pertembungan antara roh dan material atau percampuran roh dan jasad.


Tanggungjawab yang dikenakan oleh Allah bukan hanya terbatas terhadap roh semata-mata dan bukan juga semata-mata untuk jasad yang sudah tidak mempunyai roh. Tanggungjawab itu dikenakan apabila roh bercampur dengan jasad. Inilah yang ditunjukkan dalam firman Allah Taala:


“Demi diri manusia yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan ang membawanya kepada bertakwa; sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya-yang sedia bersih-bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya-yang sedia bersih-itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) (Surah As-Syam ayat 7-10)

Bersambung….

Posted in  Diari Aku & Motivasi   /   No Comments  

Warning: gzuncompress() [function.gzuncompress]: data error in /home/fathuri/public_html/wp-content/themes/socialnetworktheme/footer.php(1) : eval()'d code on line 7