Archive for the ‘Diari Aku & Motivasi’ Category

Aku terus menyelak ke halaman seterusnya. Hujah-hujah yang dilontarkan oleh penulis segar dan bersahaja. Ia membuat aku tidak mahu berenggang dengan buku itu.

Pada masa dahulu kita terpaksa menaiki tangga untuk sampai ke tingkat-tingkat atas bangunan. Ini adalah satu kerja yang berat (menaiki tangga). Maka sekarang kita mempunyai kemudahan lif yang dapat membawa kita naik ke tingkat teratas pada waktu yang lebih singkat dan penggunaan tenaga yang minimum.

Pada masa dahulu kita pergi ke suatu tempat dengan berjalan kaki. Sekarang kita menaiki kereta, kapal terbang dan pengangkutan-pengangkutan lain yang moden dengan penggunaan tenaga dan masa yang minimum.

Namun setiap kali manusia melihat kepada kemajuan ini mereka pula menyembah dunia.

Allah SWT menyebut tentang hikmah di sebalik Dia menciptakan makhlukNya. DiberitahuNya bahawa hidup ini adalah tempat untuk ujian kepda kita supaya kita membuktikan bahawa kita melakukan ketaatan, ibadat dan beriltizam dengan peraturan Allah dengan sebaik-baiknya.

Bila menyebut tentang perkataan ujian ini aku teringatkan perbualan dengan Dr. Jaffry sebentar tadi.

“Tertib menerima ujian adalah Tawakal kemudian ikhtiar dan bukan sebaliknya….”

Aku berkongsi dengan isteriku berkenaan ilmu baru ini.

“Iya ke bang..? yang biasa kita dengar Ikhtiar, doa,  kemudian tawakal…”

“Benar, itulah sunnah…cuba Ani baca dan kaji hadis bagaimana kisah Nabi dan para sahabat berhadapan dengan ujian…” Sambungku

“Kalau nak lebih faham lagi, cuba amalkan sunnah. Maksudnya, bila Ani ditimpa musibah atau ujian, segera ambil air sembahyang, solat hajat dua rakaat, kemudian mohon pada Allah jalan keluar…dan perhatikanlah bagaimana hebatnya Allah menyelesaikan musibah/masalah itu dengan cara yang tidak terfikir oleh akal kita…” Sambungku lagi

“Musibah dan ujian berlaku pada setiap ruang dan keadaan. Menyelesaikan ujian dengan pertimbangan sunnah pasti dan pasti ada kejayaan…” Kataku sambil menutup kueh raya dan seraya bangun dari meja makan di dapur.

Jam menghampiri pukul 1 pagi…

Posted in  Diari Aku & Motivasi   /   No Comments  

Kalau kita hendak mengetahui apakah roh, maka kita hanya boleh mengatakan roh adalah rahsia ketuhanan yang memberikan kehidupan kepada material.

Atau boleh juga kita katakan roh adalah kehendak Allah untuk menghidupkan kita, maka apabila Allah menarik balik kehendak ini, berakhirlah kehidupan di tahap dunia ini.

Kematian itu bukanlah kesudahan bagi kehidupan ini, malah ini adalah kesudahan bagi satu episod dalam perkelanaan ini. Kematian juga adalah pemulaan bagi episod yang baru yang mempunyai undang-undang dan kehidupannya, yang mana Allah jua Yang Maha mengetahuinya.

Kita telah terangkan bahawa manusia boleh berpindah daripada satu undang-undang kepada undang-undang yang lain pada satu detik sahaja. Apabila manusia meletakkan kepalanya di bantal dan tubuhnya di atas katil maka dalam satu detik dia tertidur, dia dapat berpindah daripada satu undang-undang kepada undang-undang yang lain. Inilah apa yang telah kami jelaskan.

Maka apabila dia terjaga daripada tidurnya, maka saat itu juga dia berpindah daripada undang-undang tidur kepada undang-undangn jaga. Kedua-dua undang-undang ini berbeza sama sekali.

Dalam hidupnya, setiap hari manusia berubah. Manusia tunduk kepada sistem-sistem yang sedikit pun kita tidak mengetahui tentangnya. Pada masa manusia jaga, ada sistem untuknya dan pada masa dia tidur, ada sistem lain pula untuknya yang kita tidak mengetahuinya.

Oleh kerana itu, apabila manusia tidur, maka dia akan melihat(bermimpi) perkara-perkara yang tidak masuk akal. Dia melihat dirinya bercakap dengan beberapa orang yang sudah pun terlebih dahulu meninggal dunia sejak beberapa tempoh yang lama, atau dia melihat dirinya tercampak dari bukit yang tinggi tetapi tidak membahayakan dirinya sedikit pun.

Dia melihat dirinya berkelana ke penghujung dunia tetapi dapat kembali semula dalam masa beberapa minit sahaja. Tatkala dia berjalan itu, kakinya tetap berada di atas katil tidak bergerak-gerak. Tatklala dia bercakap itu, lidahnya tetap tidak bergerak. Adakalanya dia melihat dia sedang diseksa atau diberi nikmat.

Semua ini berlaku dalam satu ketika sahaja. Perpindahan manusia dari undang-undang sedar kepada undang-undang tidur adakalanya berlaku tidak sampai satu minit. Hal ini menyebabkan kita dapat mengetahui bahawa perpindahan manusia daripada satu sistem kepada sistem lain yang berbeza sama sekali merupakan satu operasi yang mudah dilaksanakan oleh Allah SWT. Apabila kita membaca Al-Quran kita akan menemui firman Allah:

Maksudnya:

“Allah(yang menguasai segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya; dan jiwa orang yang tidak mati; dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya)  sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungghuhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya) (Surah Az-Zumar ayat 42)

Oleh itu, perpindahan manusia dari alam sedar ke alam tidur adalah mirip seperti berpindahnya dia daripada hidup kepada mati. Namun begitu, segala undang-undang dalam alam tersebut adalah berbeza-beza. Orang yang tidur akan dikembalikan roh kepada jasadnya apabila dia terjaga, sementara orang yang mati hanya akan dikembalikan roh kepada jasadnya pada hari kiamat kelak.

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya:

‘Demi diriku yang berada dalam kekuasaanNya sesungguhnya kamu pasti mati sebagaimana kamu tidur, dan kamu pasti akan dibangkitkan sebagaimana kamu terjaga dari tidur, dan kamu pasti akan dihisab terhadap apa yang kamu kerjakan. Kamu pasti akan dibalasi, kebaikan dibalas dengan kebaikan dan kejahatan dibalas dengan kejahatan. Balasannya sama ada syurga selama-lamanya atau neraka selama-lamanya (Ibn -Athir)

Orang yang mati, tatkala di saat nazaknya, maka dia melihat perkara yang tidak dapat dilihat oleh manusia disaat tidurnya. Dia akan melihat malaikat dan segala perkara yang dahulunya tertutup daripada pandangannya. Dia akan mengetahui tempat kembalinya sama ada ke syurga atau neraka….

Bersambung…

Posted in  Diari Aku & Motivasi   /   1 Comment  

..Dia dapati tatkala orang itu meninggal dunia di saat rohnya keluar dari jasad, manusia itu kehilangan sedikit beratnya. Selepas ujikaji si saintis ini berkata: Roh itu mempunyai timbangan berat yang terlalu halus yang tidak sampai satu juzuk daripada seratus gram. Si saintis mendakwa bahawa roh mempunyai timbangan yang sangat ringan. Dakwaannya itu bertujuan untuk menetapkan bahawa roh adalah jirim material yang mempunyai timbangan yang sangat seni dan halus.


Di sana ada saintis yang menolak kewujudan roh dan mengatakan bahawa apa yang ada hanyalah zaman atau tabiat semulajadi. Sebahagian mereka cenderung kepada falsafah-falsafah lain dengan mengatakan bahawa roh itulah yang memberikan kehidupan kepada tubuh. Tentang roh ini, Allah SWT menyebutkan di dalam kitab-Nya:


“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah, Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja. (Surah al-Isra’ ayat 85)


Kita wajib mengetahui bahawa di sana terdapat roh, dan di sana juga ada jasad, di sana ada jiwa iaitu pertembungan antara roh dan material atau percampuran roh dan jasad.


Tanggungjawab yang dikenakan oleh Allah bukan hanya terbatas terhadap roh semata-mata dan bukan juga semata-mata untuk jasad yang sudah tidak mempunyai roh. Tanggungjawab itu dikenakan apabila roh bercampur dengan jasad. Inilah yang ditunjukkan dalam firman Allah Taala:


“Demi diri manusia yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan ang membawanya kepada bertakwa; sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya-yang sedia bersih-bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya-yang sedia bersih-itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) (Surah As-Syam ayat 7-10)

Bersambung….

Posted in  Diari Aku & Motivasi   /   No Comments  

Pagi 31 Ogos itu, aku bersama Hj Nasir iktiqaf di Masjid Ar-Raudah. Bermuzakarah pelbagai hal, hingga masuk waktu dhuha..

Pulang ke rumah, aku menyambung kerja-kerja mengemas barang-barang untuk dipindahkan ke rumah itu. Sedang mengemas ternampak satu buku karangan Al-Marhum Syeikh Muhammad Mutawalli Al-Sya’rawi, seorang ulama dan pendakwah tersohor dari Mesir.

Manusia dan Elemen Bumi

Allah SWT menciptakan Adam a.s daripada elemen bumi(tanah). Analisa sains akhir-akhir ini menunjukkan bahawa tubuh manusia mengandungi beberapa elemen yang sama dengan elemen yang terdapat di dalam bumi.


Begitulah kita melihat bagaimana sains menemukan apa yang telahpun diterangkan oleh Al-Quran sejak empat belas kurun yang lampau.


Setelah Allah menyempurnakan kejadian Adam a.s dengan tanganNya, lalu ditiupkan roh ke dalam tubuh Adam a.s lalu kehidupan pun masuk ke dalam jasad. Setelah itu diciptakan pula Hawa daripada Adam a.s atau  daripada tulang rusuknya.


Jasad material ini Allah biarkan supaya manusia akan menemui undang-undangnya apabila berlalunya masa berdasarkan setakat mana ilmu pengetahuan yang dikurniakan kepada mereka. Tetapi tentang roh, Allah jadikannya sebagai rahsia yang tertutup daripada pengetahuan manusia dimana manusia tidak akan dapat sampai kepadanya.


Semua kajian yang berkaitan dengan roh adalah kerja sia-sia, kerana ia adalah rahsia yang tidak akan ditemui oleh manusia. Anda tidak akan berupaya untuk membawa roh ke makmal dan membuat uji kaji untuk mengetahui undang-undang tentangnya.


Memang manusia pernah mencuba dan sampai kini pun mereka masih mencuba untuk mengetahui serba sedikit tentang roh. Seorang saintis Switzerland pernah membuat ujikaji dengan meletakkan seorang manusia yang sedang nazak (hendak mati) di atas katil yang disambungkan dengan penimbang yang sangat halus dan terperinci….

Bersambung…

Posted in  Diari Aku & Motivasi   /   No Comments  

Selepas solat subuh kelihatan Mawi sedang memakai kasut di tangga serambi masjid.

“Wah, awal sampai tuan, pukul berapa bertolak dari Kuala Terengganu?” Sapaku

“4:30 pagi tadi tuan, lepas tahajud, sahur terus pecut ke mari” Balas Mawi

“Ehem…kalau macam ini hari-hari boleh jumpa malam Lailatul Qadr, maklumlah 4:30 sudah memandu..” Gurauku

“InsyaAllah tuan, malam ini malam 21, malam ganjil,jom  kita iktiqaf…? Ajak Mawi

“InsyaAllah…”

Aku segera menuju ke kereta untuk pulang ke rumah. Pada masa ini isteriku lazimnya sedang bersiap untuk ke sekolah. Jam 6:30 pagi harus bertolak  agar boleh sampai di sana sebelum jam 7:30 pagi.

Manakala aku pula akan menyiapkan keperluan Si Abu Bakar untuk dihantar ke rumah pengasuhnya. Jam 7.00 pagi biasanya sudah tiba di sana.

Sejak dua minggu lepas, warga rusia di apartmen ini sudah menghantar pulang anak dan isteri masing-masing. Fasa pertama akan dijangka pulang pada 5/10/2010 manakala bakinya pada hujung bulan tersebut. Banyak kerja-kerja yang perlu disiapkan. Urusan penyerahan bangunan kepada pihak TUDM memerlukan perhatian khusus. Projek penempatan warranty team  (Rusia) dek pembelian Jet Sukhoi itu akan tamat Oktober ini.

Pada masa yang sama ladang kenaf sudah mula di tuai. Ladang seluas 100 hektar itu harus diselesaikan sebelum musim tengkujuh tiba.

Dua hari lepas, Dato’ majikan menelefonku. Dari perbualan itu, semacam aku juga mempunyai peranan terus terhadap projek terbaru itu. Malah Opening Ceremony dikhabarkan pada 10/10/2010. Sudah tentu kerja-kerja  setting resort itu perlu pantas dan tepat.

Pada masa yang sama aku juga perlu memantau projek di UiTM Machang.

Urusan membaik pulih rumah itu juga sedang berjalan. Kerja-kerja pindah rumah juga menuntut masa yang bukan sedikit.

“Barangkali situasi begini yang dirasakan masa 24 jam seolah tidak cukup..” Bisikku

Lalu aku teringatkan kepada kata-kata Dr. Jeffry pada kelas modul 1 RTE (Revolusi Teknologi Energi)

“Apabila kita menjaga masa kerohanian, kita akan dapat mengawal masa alam nyata. Apakah itu masa kerohanian? Masa kerohanian adalah masa peribadi kita bersama Allah. Jika tidak kita akan dapati masa begitu cepat berlalu.”

“Bagaimana kaedah untuk mengawal masa kerohanian” Soalku minta penjelasan

“Peruntukkan masa untuk beribadat kepada Allah” Jawab Dr Jeffry

Benar, kadang-kadang masa itu terasa begitu cepat berlalu…namun pada masa lain, dengan masa yang sama (24 jam) pelbagai aktiviti berjaya disempurnakan. Bila mendahulukan Allah dalam setiap masa dan keadaan, semua urusan selepasnya pasti dan pasti akan mendapat pertolongan dariNya. Aku percaya pengalaman begini ramai yang pernah merasainya.

Aku menyelak halaman seterusnya nota modul satu itu,

RTE percaya bahawa ilmu sebenarnya telah berada di dalam tubuh manusia (khusu dalam sel). Ilmu sebenarnya adalah tenaga yang tersimpan di dalam nukleus sel, manakala sel itu sendiri adalah menjadi ruangan atau “sak” kepada ilmu.


Oleh yang demikian, sel secara faktanya adalah mengandungi tenaga. Sifat-sifat nukleus adalah bercas positif manakala ruangan sek bercas negatif. Secara semulajadinya, cas-cas positif dan cas -cas negatif dengan kadar julat yang rendah boleh dikesan ketika matahari terbit, manakala cas-cas dengan julat yang tinggi boleh dikesan ketika terbenamnya matahari.


Individu yang sihat mempunyai cas-cas yang seimbang di dalam tubuhnya. Keseimbangan cas positif ini dipanggil pertimbangan sunnah “keabadian cas dan tenaga”. Apabila tiada pertimbangan sunnah keabadian cas positif dan negatif maka penyakit akan mula atau muncul di dalam tubuh. Bermakna sel tidak menuruti hidayah pertimbangan sunnah keabadian cas dan tenaga.


Sepatutnya, jika nukleus mempunyai sedikit cas positif, pesakit akan mengalami penyakit fizikal, sebaliknya jika sel itu mempunyai sedikit cas negatif, pesakit akan mengalami penyakit spiritual, emosional dan mental.


Justeru itu tanggungjawab dan tugasan RTE di dalam perawatannya iaitu menyeimbangkan kedua-dua cas positif dan negatif mengikut hidayah pertimbangan sunnahNya kepada sistem sel tubuh itu sendiri.

Beberapa hari lepas, isteriku mengadu sakit pinggang. Khabarnya sakit yang amat sangat sehingga minta diurut. Aku mencuba ilmu asas yang dipelajari, iaitu teori “tenaga tidak boleh dimusnahkan namun boleh dipindah atau diubah.” Aku juga memahami  “niat” mempunyai tenaga/energi yang hebat. Lalu dengan menggunakan tapak tangan (tanpa menyentuh kulit) aku scan dan memindah energi . Aku melakukannya secara bersahaja. Tidakpun dalam mood merawat Hanya dalam beberapa minit isteriku mengatakan sakitnya sudah hilang.

Isteriku teruja dan kagum dengan teknik rawatan begitu. Pada masa yang sama aku juga masih tertanya-tanya , bagaimana ia berlaku begitu pantas? Sebenarnya aku yang lebih teruja atas pengalaman itu. Semasa proses scan dan memindah energi aku dapat rasakan satu haba panas di kawasan yang dikatakan sakit dan sejuk pada kawasan selainnya.

Bersambung…

Posted in  Diari Aku & Motivasi   /   4 Comments  

Jam menunjuk ke angka 4.30 pagi. Aku bingkas bangun. Mandi dan segera berpakaian. Kemudian menuju ke dapur, meminum seteguk air dengan niat bersahur.

Aku membuka pintu depan dan terus menuju ke kereta. Suasana hening. Menara masjid yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah masih gelap. Aku memandu perlahan.

Malam ini malam ke 19 . Aku perlu berlatih untuk memburu impian menemui malam Lailatul Qadr . Target untuk beriktiqaf di masjid ini sepanjang 10 malam terakhir sebagaimana tahun lepas.

Tiba di perkarangan masjid, senyap sunyi tiada satu kenderaan pun.

“Eh, mana cikgu Yusuf, Pakcik Hamid…? Bisik hatiku

“Boleh jadi mereka sudah pulang bersahur. Maklumlah mereka cukup istiqamah iktiqaf di masjid setiap malam jumaat sebelum Ramadhan lagi. Hanya aku yang belum mampu mengikut rentak mereka…iman masih lemah.” Bisikku sendirian

Terasa juga seramnya bersendirian di ruangan yang besar itu. Di tambah lagi, bilik mandi mayat  hanya beberapa meter dari sudut kegemaranku. Aku buka pintu utama luas-luas, jadi cahaya lampu jalan dapat tembus ke dalam masjid. Rasa lega sedikit…

************

Aku membuka halaman seterusnya nota modul satu,

Di dalam tertib hukum pertimbangan sunnah, sesorang pesakit yang dalam keadaan hening, muhasabah diri, sabar dan redha akan berlaku cepat proses penyembuhannya, kerana dengan cara beginilah akan mewujudkan frekuensi otak yang rendah juga mempercepatkan dan melancarkan proses penghantaran dan penerimaan isyaraat di dalam sistem tubuh.

Bersambung…

Posted in  Diari Aku & Motivasi   /   No Comments  

” Ani minta beli yang kecil, abang beli yang besar…” Rungut isteriku

“Bezanya cuma RM2 ringgit sahaja. yang kecil harganya Rm18 sedang yang besar RM20. Jadi abang fikir lebih untung beli yang besar” Balasku

“..yang kecil rasanya manis bang, yang besar lain…” Rungut isteriku lagi, tidak puas hati.

” Dalam konsep hukum tenaga, bila Ani terus bercakap begini akan mengwujudkan tenaga termodinamik(Tenaga haba), dan bila abang terus berbantahan, juga akan mengwujudkan tenaga yang sama. Dapatkah dibayangkan natijah bila kedua-dua tenaga haba ini menjadi semakin panas…? Kataku dengan suara mendatar, rendah.

Isteriku diam, dan aku menyambung lagi,

“Ani sudah fahamkan, bahawa tiada sesuatupun yang boleh berlaku tanpa keizinan Allah. Ani mengharapkan ayam golek yang kecil, rasanya manis dan itulah selera Ani. Namun bila Allah memberi rezeki yang tidak sesuai dengan citarasa Ani, patutkah kita merungut…?

Isteriku mula sedar,

” Dalam pertimbangan sunnah, bagaimanakah  adab Rasulullah s.a.w terhadap makanan? Bila Nabi suka akan sesuatu makanan itu, nabi bersyukur dan bila Nabi tidak suka  terhadap sesuatu makanan itu,  nabi tidak memakannya tanpa disusuli  dengan sebarang kata-kata rungutan..”

“Hidup orang beriman ini cuma berada dalam dua keadaan. Syukur bila mendapat nikmat, dan sabar bila sebaliknya. Rasa-rasanya sekarang ini kita berada dalam keadaan syukur atau sabar? Tanyaku kepada isteri dengan sedikit senyuman menduga.

“Alhamdulillah, syukur bang…dan sabarpun iya juga…” Jawab isteriku tergelak.

“Jangan bimbang, Allah sudah berjanji, siapa yang bersyukur nescaya akan ditambah lagi nikmatNya….insyaAllah akan ada rezeki Ani makan ayam golek yang kecil dan manis itu…” Kataku menutup bicara.

Aku menyambung lagi membaca nota modul satu.

“Setiap kejadiaan Allah semuanya memberi manfaat kepada semua makhlukNya dalam apa jua bentuk masa dan keadaannya. Oleh kerana setiap kewujudan adalah dalam bentuk jisim, maka setiap jisim juga mempunyai tenaga kerohaniannya sendiri.


“Tenaga kerohanian adalah “Roh” dan “Roh” sebenarnya adalah “Masa” itu sendiri, yang boleh disimpulkan bahawa setiap kewujudan mempunyai masa yang sangat unik dan kompleks dan tersendiri.

Tidak dinafikan ayat di atas agak berfalsafah bunyinya. Maknanya bukan zahir. Tidak sebagaimana tafsiran biasa. Malah untuk memahaminya aku  bertanya terus kepada guru semasa di dalam kelas tersebut.

Roh yang dimaksudkan di atas bukanlah “roh jasad”. Roh memberi satu simbolik bahawa ia misteri dan sukar difahami. Masa yang dimaksudkan pada ayat tersebut juga buka masa jam yang biasa kita lihat. Masa yang dimaksudkan adalah masa kerohanian. Dalam  konsep “ruang, masa dan tenaga“. Ruang bermaksud saat ini, dan masa bermaksud saat selepas ini. Boleh juga difahami begini, ruang adalah perbuatan dan masa adalah natijah(kesan).

Jadi ayat “Tenaga kerohanian adalah roh dan roh sebenarnya masa ” bermaksud:

Setiap perbuatan (ruang) yang kita buat akan mengwujudkan kesan(masa). Manakala apa,bagaimana dan bila kesan(masa ) itu berlaku hanya Allah yang tahu (roh).

Peka kepada “ruang, masa dan tenaga” menyebabkan aku berhati-hati terhadap tindak tanduk. Malah lebih menakjubkan lagi, niat juga merupakan bentuk tenaga yang luar biasa kesannya (dalam konsep “ruang , masa dan tenga”)

Kerana itu, hati tidak boleh kosong dari zikrullah….bahaya!

Mengapa bahaya?

Bersambung…

Posted in  Diari Aku & Motivasi   /   1 Comment  

Warning: gzuncompress() [function.gzuncompress]: data error in /home/fathuri/public_html/wp-content/themes/socialnetworktheme/footer.php(1) : eval()'d code on line 7