Jam PC menunjuk angka 3:16 pagi. Abu Bakar baru saja senyap setelah menangis kerana minta ditukar lampin dan mahu menyusu. Tangisannya memang agak memeranjatkan . Abu Bakar tiba-tiba sahaja memekik seolah disengat sesuatu. Isteriku sering kaget dengan jeritan itu. Segala apa yang dipegangnya serba tidak kena.

Aku perasaan perubahan jeritannya itu sejak seminggu yang lepas. Setelah diteliti, sebenarnya sekadar perubahan strategi oleh si Abu Bakar untuk segera diperhatikan. Justeru, aku juga menukar strategi. Tidak perlu menuggu Abu Bakar menjerit kuat begitu untuk memahami kehendaknya. Aku hanya perlu lebih cepat bertindak. Bukan lagi 15 minit, namun perlu sepantas 5 minit untuk diselesaikan semua urusannya. Menukar lampin dan menyediakan susu mesti di bawah 5 minit.

Semalam aku menerima satu sms dari seorang pemburu impian yang sedang “low batery”.

“Salam tuan. Tlg bg nasihat. Ambo jd x berapa nk aktif dan rajen. Asyik tgguh kerja dn x berfikir dgn cepat lepas demam ni. Bdn kurg bertenaga. Xde smgat”

Membaca sms di atas membuat aku teringat pada kisah beberapa tahun lalu. Untuk menaikkan semangat dan motivasi diri yang sedang “low batery” aku membeli sebuah kaset motivasi (audio) dari seorang motivator yang terkenal. Setelah habis mendengarnya, malah aku menjadi semakin tidak bermotivasi. Marahku benar-benar memuncak sehingga kaset itu aku letak di bawah tayar kereta dan aku gilis berkali-kali sehingga hancur berkecai. Kejadian ini berlaku di Taman Bukit Kiara, Taman Tun Dr Ismail, K.L.

Peristiwa itu masih menjadi salah satu peristiwa yang masih segar diingatan walau sudah bertahun berlaku. Aku sering berfikir, apakah yang berlaku di mindaku? Mengapa aku bertindak begitu? Sedangkan kaset motivasi dan motivator itu adalah minatku sebelumnya. Kerana berfikir dan mencari jawapan , akhirnya aku bertemu penyelesaian.

Hari ini, aku memilih untuk mempercayai bahawa minda dan perasaan boleh dikawal. Malangnya untuk mengawal minda dan perasaan tidak semudah menuturkannya. Kepekaan yang tinggi pada perubahan emosi  diperlukan.  Keinginan menguasai minda dan emosi memerlukan kepekaan dan komitmen memantaunya.  Di samping itu, perlu kepada kemahiran khusus untuk mengawal minda dan emosi. Memiliki Ilmu NLP (Ilmu bagaimana memahami , berkomunikasi dan memprogram minda/ Neuro Linguistik programming) aku akui banyak membantu. Pun begitu, mahu memahaminya sahaja perlukan komitmen yang serius, apatah lagi jika mahu mempraktikkannya dalam setiap kecelaruan emosi yang unik.

Hari ini aku memilih untuk menggunakan pendekatan fitrah sebagai strategi mengawal minda dan emosi. Fitrah adalah agama. Pendekatan fitrah adalah pendekatan agama. Idea ini ringkas, mudah dan dijamin berkesan.

Setiap hari sebenarnya aku harus memberi makan dua jiwa. Satu fizikal dan satu lagi batin. Makanan fizikal untuk kekuatan tubuh, manakala makanan batin untuk kekuatan rohani. Kekuatan rohani bermaksud, segala hal yang berkaitan dengan emosi dan minda. Melakukan ibadat adalah memberi makan rohani. Rohani jadi cergas dan bersemangat bila berhadapan dengan hidup dan kehidupan.Menunaikan solat dengan berjemaah dan istiqamah sangat berkesan sebagai pendinding kepada emosi dan minda. Semakin banyak ibadat semakin sihat rohani, semakin semarak semangat!.

Menunaikan solat dengan berjemaah harus ditempat azan dilaungkan (bagi orang lelaki), iaitu di surau atau masjid. Fakta ini dikuatkan lagi oleh kajian seorang professor tempatan melalui seminar yang aku hadiri beberapa bulan lepas. Malah solat yang dilakukan dengan teliti mempunyai kuasa dan pemulihan luar biasa hebat kepada tubuh, minda dan emosi.  Semua buku tulisan professor itu mengenai kajiannya terhadap pergerakan solat sudah aku miliki.

Membaca semua hasil kajian tersebut, membuat aku berpegang kepada motto ini,

Pray Hard, Work Smart & Creative” berhasil  menyelesaikan semua cabaran dan tekanan yang menghambat sepanjang bergelar pemburu impian.

Idea ini mudah dan berkesan.

Bila sahaja aku mengalami tekanan dan kecelaruan minda dan emosi, aku segera semak solatku. Maka aku segera tahu sebabnya. Aku juga segera tahu ubatnya…

Apa pun ideanya, ia tetap memerlukan tindakan untuk mendapat hasilnya…menariknya solat adalah kewajipan cuma perlu tukar lokasi solat, dari solat rumah , pergi solat di masjid/surau. Bukankah idea ini mudah?Malah paling mudah dan paling berkesan, barangkali?

Nota: Kembara mencari jawapan bagaimana mencipta sejuta dalam tempoh 24 bulan masuk hari ke-67.

Pautan menarik: Website, Blog, artikel, video, foto, produk.


One Comment

  • Siti Fatimah Ahmad

    Assalaamu’alaikum

    Apa khabar Fathuri ? Lama juga bunda tidak bertandang ke laman ilmu yang penuh dengan motivasi diri dalam membangunkan gergasi dalaman yang punya kekuatan hebat bagi menggerakkan jiwa dan minda kepada sebuah kehidupan yang luarbiasa.

    Ketika membaca tulisan Fathuri di atas, bunda jadi asyik sambil otak ini berfikir apa yang bakal Fathuri curahkan seterusnya sehinggalah petikan di bawah ini membuat bunda ketawa dan membayangkan apa yang sedang dan telah Fathuri lakukan.. (by the way, thanks kerana dah bebaskan tekanan minda bunda hari ini….dengan kisah tersebut.. masih ketawa lagi ni)..

    “Membaca sms di atas membuat aku teringat pada kisah beberapa tahun lalu. Untuk menaikkan semangat dan motivasi diri yang sedang “low batery” aku membeli sebuah kaset motivasi (audio) dari seorang motivator yang terkenal. Setelah habis mendengarnya, malah aku menjadi semakin tidak bermotivasi. Marahku benar-benar memuncak sehingga kaset itu aku letak di bawah tayar kereta dan aku gilis berkali-kali sehingga hancur berkecai. Kejadian ini berlaku di Taman Bukit Kiara, Taman Tun Dr Ismail, K.L.

    Iya… jika semangat semakin longlai dan keyakinan diri menurun, banyak perkara boleh membuat kita hilang tumpuan sehingga semakin melemahkan diri dan hampir hilang kepercayaan dengan apa yang telah kita lakukan.

    Solat adalah tiang agama. Solat juga adalah pendiding diri. Solat itu bererti kekeuatan dari Allah buat membina dan membangun jiwa dan jasadi kita untuk terus hidup dan hidup. Jika solat tidak dirikan. Pertemuan dengan Allah tidak dilakukan secara formal dan informal, pasti hidup hilang punca. Pasti hidup penuh gelisah. Berbicaralah dengan Allah swt dalam setiap apa yang kita lakukan dan ingini.

    Nikmat bersama Allah, bersahabat dengan Allah, dekat dengan Allah merupakan satu nikmat iman yang terunggul pernah kita miliki sebagai seorang hamba yang hina, kerdil dan lemah. Allah punca segala kekuatan. Allah punca segala kelemahan. Allah punca segala kehidupan. Allahlah sumber pengibadatan, Allah sumber kecintaan, Allah sumber perundangan, Allahlah sumber kehidupan dan kematian.

    Bangunkan diri dari kelemahan yang menjadi sebab Iblis laknatullah dan kuncu-kuncunya berjaya menembusi kehebatan manusia melalui kelalaian hati dan keresahan jiwa. Bangunkan gergasi diri dengan melimpahinya melalui pancaran “ayat-ayat cinta” yang dibekalkan Allah untuk menggerakkan perubahan, membangkit semangat dan menyempurnakan semula kesakitan yang dialami selama ini.

    Jika hubungan dengan Allah tidak selesai, maka hubungan dengan manusia akan semakin parah. Mudahan dengan mengingati Allah, hati kita akan tenang dan bahagia. Bunda doakan Fathuri dan sesiapa sahaja termasuk bunda sendiri untuk terus bangkit dari kelemahan dan longlainya semangat juang untuk terus bertindak melawan kelemahan dengan fitrah yang hebat, Yakin boleh dengan seiizin Allah swt.

    Fathuri… bunda seronok membaca diari Fathuri dan isteri dalam menangani si gagah kecil Abu Bakar al-Siddiq. Begitulah kerenah anak yang pintar dan cerdik.. selalu menguji ibu bapanya. Mudahan sabar menjadi teman kepada situasi yang hebat ini. Bunda telah melaluinya dan ingin melaluinya lagi. Tapi…. ahhh…. cukuplah… hehehe..

    Selalu ada doa dari bunda untuk kejayaan kerjaya Fathuri dan kebahagiaan sekeluarga. Salam mesra selalu dari bunda di Sarikei, Sarawak.
    Siti Fatimah Ahmad´s last blog ..BAYANGKANLAH SEANDAINYA NABI MUHAMMAD SAW BERKUNJUNG…. (1)

    Pemburu Impian: Membaca petikan ayat bunda yang ini,
    “bunda seronok membaca diari Fathuri dan isteri dalam menangani si gagah kecil Abu Bakar al-Siddiq. Begitulah kerenah anak yang pintar dan cerdik.. selalu menguji ibu bapanya.” terus melontar ingatan kepada kisah kelahiran Siti Noor Ieesyah…. Kisah jihad itu harus ditatap oleh generasi muda khususnya yang bakal bernikah. Sungguh ia merupakan sebuah kisah yang memberi siraman segar air perjuangan kepada bakal ibu. Realiti perkhawinan dan fantasi percintaan ibarat langit dengan bumi. Mohon kebenaran mengabadikan kisah itu di ruang ini ya bunda…semoga ada yang mendapat manfaat darinya. http://websitifatimah.wordpress.com/2010/01/26/kelahiranmu-perit-namun-gemilang/My ComLuv Profile

Leave a Reply

CommentLuv Enabled

Warning: gzuncompress() [function.gzuncompress]: data error in /home/fathuri/public_html/wp-content/themes/socialnetworktheme/footer.php(1) : eval()'d code on line 7