Kalau kita hendak mengetahui apakah roh, maka kita hanya boleh mengatakan roh adalah rahsia ketuhanan yang memberikan kehidupan kepada material.
Atau boleh juga kita katakan roh adalah kehendak Allah untuk menghidupkan kita, maka apabila Allah menarik balik kehendak ini, berakhirlah kehidupan di tahap dunia ini.
Kematian itu bukanlah kesudahan bagi kehidupan ini, malah ini adalah kesudahan bagi satu episod dalam perkelanaan ini. Kematian juga adalah pemulaan bagi episod yang baru yang mempunyai undang-undang dan kehidupannya, yang mana Allah jua Yang Maha mengetahuinya.
Kita telah terangkan bahawa manusia boleh berpindah daripada satu undang-undang kepada undang-undang yang lain pada satu detik sahaja. Apabila manusia meletakkan kepalanya di bantal dan tubuhnya di atas katil maka dalam satu detik dia tertidur, dia dapat berpindah daripada satu undang-undang kepada undang-undang yang lain. Inilah apa yang telah kami jelaskan.
Maka apabila dia terjaga daripada tidurnya, maka saat itu juga dia berpindah daripada undang-undang tidur kepada undang-undangn jaga. Kedua-dua undang-undang ini berbeza sama sekali.
Dalam hidupnya, setiap hari manusia berubah. Manusia tunduk kepada sistem-sistem yang sedikit pun kita tidak mengetahui tentangnya. Pada masa manusia jaga, ada sistem untuknya dan pada masa dia tidur, ada sistem lain pula untuknya yang kita tidak mengetahuinya.
Oleh kerana itu, apabila manusia tidur, maka dia akan melihat(bermimpi) perkara-perkara yang tidak masuk akal. Dia melihat dirinya bercakap dengan beberapa orang yang sudah pun terlebih dahulu meninggal dunia sejak beberapa tempoh yang lama, atau dia melihat dirinya tercampak dari bukit yang tinggi tetapi tidak membahayakan dirinya sedikit pun.
Dia melihat dirinya berkelana ke penghujung dunia tetapi dapat kembali semula dalam masa beberapa minit sahaja. Tatkala dia berjalan itu, kakinya tetap berada di atas katil tidak bergerak-gerak. Tatklala dia bercakap itu, lidahnya tetap tidak bergerak. Adakalanya dia melihat dia sedang diseksa atau diberi nikmat.
Semua ini berlaku dalam satu ketika sahaja. Perpindahan manusia dari undang-undang sedar kepada undang-undang tidur adakalanya berlaku tidak sampai satu minit. Hal ini menyebabkan kita dapat mengetahui bahawa perpindahan manusia daripada satu sistem kepada sistem lain yang berbeza sama sekali merupakan satu operasi yang mudah dilaksanakan oleh Allah SWT. Apabila kita membaca Al-Quran kita akan menemui firman Allah:
Maksudnya:
“Allah(yang menguasai segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya; dan jiwa orang yang tidak mati; dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungghuhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya) (Surah Az-Zumar ayat 42)
Oleh itu, perpindahan manusia dari alam sedar ke alam tidur adalah mirip seperti berpindahnya dia daripada hidup kepada mati. Namun begitu, segala undang-undang dalam alam tersebut adalah berbeza-beza. Orang yang tidur akan dikembalikan roh kepada jasadnya apabila dia terjaga, sementara orang yang mati hanya akan dikembalikan roh kepada jasadnya pada hari kiamat kelak.
Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya:
‘Demi diriku yang berada dalam kekuasaanNya sesungguhnya kamu pasti mati sebagaimana kamu tidur, dan kamu pasti akan dibangkitkan sebagaimana kamu terjaga dari tidur, dan kamu pasti akan dihisab terhadap apa yang kamu kerjakan. Kamu pasti akan dibalasi, kebaikan dibalas dengan kebaikan dan kejahatan dibalas dengan kejahatan. Balasannya sama ada syurga selama-lamanya atau neraka selama-lamanya (Ibn -Athir)
Orang yang mati, tatkala di saat nazaknya, maka dia melihat perkara yang tidak dapat dilihat oleh manusia disaat tidurnya. Dia akan melihat malaikat dan segala perkara yang dahulunya tertutup daripada pandangannya. Dia akan mengetahui tempat kembalinya sama ada ke syurga atau neraka….
Bersambung…












artikel yg mudah untuk kita memahami alam roh. setiap hari kita tidur, setiap hari kita mengalami perpindahan alam.
Pemburu Impian: Terima kasih atas kunjungan tuan. Benar, setiap hari kita melihat contoh bagaimana roh berpindah alam, (tidur dan jaga)
Terasa kerdilnya diri ini.. Sesungguhnya ego kita tidak sampai ke mana2.
Pemburu Impian: Terima kasih atas kunjungan ustaz Hadi.Benar ustaz, kita kerdil namun Allah beri potensi besar untuk menjadi hebat(dalam pertimbangan sunnah)
Salam Fathuri. Terusik untuk memberi komentar bahawa kematian itu bukanlah kesudahan bagi kehidupan ini, malah ini adalah kesudahan bagi satu episod dalam perkelanaan ini. Kematian juga adalah pemulaan bagi episod yang baru yang mempunyai undang-undang dan kehidupannya, yang mana Allah jua Yang Maha mengetahuinya.
Bahkan dalam satu hadis menyebut kematian adalah stesyen pertama menuju ke alam akhirat. Kematian membahagiakan bagi yang bersedia dan kecelakaan bagi yang mengejar dunia.
Pemburu Impian: Terima kasih atas kunjungan tuan. Apa khabar tuan?. Semoga ceria & bahagia menyambut Aidul Fitri dengan kehadiran puteri hati yang comel itu.
slm tn yg mulia,
alhamdulillah, syukran atas pemahaman berkenaan roh ini. mungkin boleh ditambah berdasarkan firman Allah s.w.t. ini: kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. pada fahaman saya, bolehlah diibaratkan orang yg dalam keadaan koma dalam ayat ini, wallahualam…
Pemburu Impian: Terima kasih atas kunjungan dan komentar Tuan. Terima kasih atas tambahan tersebut.