Cuti sekolah bermula. Petang semalam aku menghantar isteri dan anakku Abu Bakar As-Siddiq pulang ke kampung. Di perjalanan singgah membeli ayam golek buat oleh-oleh berbuka puasa bersama ayah dan ibu mertuaku.
“Wah! baunya semerbak la bang….” Ujar isteriku
“Ehem!, kali ini nampaknya Ani ada rezeki makan yang golek, yang kecil dan manis…tidak seperti hari itu…” Usikku kepada isteri
Usai solat Maghrib aku bertolak kembali ke kem. Diperjalanan singgah di Tok Bali solat Isyak. Hujan mula turun.
“Malam ini malam ganjil, malam yang ke 25 ” bisikku dalam hati.
******************
Aku menyelak lagi helaian buku karangan ulama Mesir yang tersohor itu,
Kepada mereka mereka yang terpedaya dengan pencapaian ilmu manusia, saya mengatakan: Ilmu yang sedikit yang diberikan oleh Allah kepada manusia telah berupaya menghasilkan segala tamadun dan kemajuan yang melimpah ruah seperti yang kita lihat hari ini dan bakal dilihat oleh generasi seterusnya sampai kiamat.
Jika ilmu yang sedikit itu dapat menghasilkan semua ini, maka cuba bayangkan apakah yang bakal Allah sediakan kepada kita pada hari akhirat dengan ilmu-Nya sendiri?
Jadi, kemajuan ilmu sepatutnya menambahkan keimanan kita kepada Allah. Kita sepatutnya lebih khusyuk dan tunduk kepadaNya kerana kita hanya berada di alam sebab musabab. Di alam ini kemampuan manusia untuk mendapatkan sebab-sebab yang disediakan oleh Allah tidak sama.
Sesungguhnya Allah menghulurkan sebab-sebab untuk semua makhlukNya. Orang yang mengambil sebab-sebab itu dengan sungguh-sungguh maka dia berjaya menandingi orang lain.
Kawasan bumi yang diteroka oleh manusia, kemudian dibajak dan disemai dengan semaian yang baik akan memberikan kepadanya hasil yang baik. Orang yang membiarkan bumi tanpa dibajak dan ditanami maka bumi itu tidak akan memberikan apa-apa kepadanya. Jadi apa yang diperoleh oleh mereka adalah kerana pemberian ketuhanan.
Di alam maya ini Allah menciptakan berbagai-bagai benda yang boleh bertindak balas untuk anda berbagai benda yang bertindak balas dengan usaha anda.
Benda-benda yang bertindak balas untuk anda memberikan sumbangan kepada anda tanpa sebarang pertukaran atau usaha dari anda. Ia hanya semata-mata pemberian yang tidak perlu diusahakan oleh anda. Matahari,bulan dan bintang, dan kerongsong udara semuanya memberikan sumbangan kepada anda tanpa anda perlu berusaha atau bekerja. Pemberiannya adalah sama rata kepada semua. Tidak ada yang mendapat lebih daripada orang lain.
Benda-benda yang bertindak balas dengan usaha anda ialah semua yang ada di bumi. Apabila anda membajak bumi dan menabur benih, maka bumi akan mengeluarkan hasil buah-buahan kepada anda. Jika anda menggali ke perut bumi, anda akan menemui petrol dan bahan-bahan galian lain yang terdapat di situ. Jika anda tidak berbuat demikian maka bumi tidak akan memberikan perbendaharaannya kepada anda.
Dua perengang di atas telah mengusik hatiku dan mencetuskan fikir bagaimana untuk mengaitkan dengan kefahaman mengapa kemajuan manusia ini berbeza-beza. Aku menyambung bacaan.
Sesungguhnya kemajuan hidup di dunia dan ketidaksamaan antara satu negara dengan satu negara berpunca daripada benda-benda yang bertindak balas dengan usaha anda. Sesiapa yang bekerja keras dan berusaha bersungguh-sungguh, maka dia akan meningkat maju dalam memperolehi sebab-sebab yang disediakan oleh Allah. Dia akan maju daripada bangsa-bangsa yang lain. Sesiapa yang tidak berusaha, maka dia tidak akan mendapat apa-apa hasil.
Sebagai orang yang beriman, kitalah yang sepatutnya meningkat naik untuk mendapatkan pemberian Tuhan ini. Kita perlu mengambil sebab-sebab yang disediakan oleh Allah supaya dapat mencapai pemberian ketuhanan tersebut. Akan tetapi kita tidak berbuat demikian, dan kita membiarkan orang lain yang mendaki sebab-sebab itu, sementara kita tidak berbuat apa-apa.
Bangsa-bangsa yang mengambil sebab-sebab itu dikurniakan oleh Allah penguasaan ke atas dunia walau pun mereka orang kafir.
Membaca perenggan di atas, seoalah menepuk air di dulang. Aku benar-bernar terkena percikan air itu!. Benar, orang kafir yang berusaha bersungguh-sungguh sehingga mampu menguasai bahasa Arab, malah beroleh ilmu yang hebat-hebat dari Al-Quran. Orang Islam yang tidak berusaha ke arah itu tetap buta bahasa Arab sehingga ke penghujung hayatnya. Sedang bahasa Arab itu adalah bahasa Al-Quran, sign board ke Syurga.
“Bagaimana pula dengan soal ekonomi? ” Bisik hatiku
Allah telah mengadakan air untuk diminum, buah-buahan untuk dimakan, udara untuk bernafas dan bumi untuk didiami. Semua ini termasuk dalam keperluan asas hidup yang manusia boleh mendapatinya sejak ia mula diciptakan atas muka bumi ini tanpa perlu berusaha mengadakannya.
Tetapi jika saya inginkan kehidupan yang lebih selesa dan meningkat, maka saya mestilah bekerja menggunakan akal yang Allah ciptakan untuk saya. Saya mesti bekerja di alam yang Allah ciptakan dan tundukkan untuk saya. Dengan cara itu barulah saya dapat mengecapi kehidupan yang lebih selesa dan mewah, iaitu kehidupan yang mana keperluan kita dapat diperolehi dengan penggunaan tenaga dan masa yang minumum.
“Oh! Indahnya kata-kata itu. Ia menjawab konflik golongan yang berselindung di sebalik alasan seolah “kemiskinan dan melarat itu lebih mulia” untuk menyembunyikan sikap pemalas dan pesimisnya..walhal “ruyung pun belum cuba dipecahkan…”
Teringat pula sms dari Dr. Jaffry
“Untuk berjaya perlulah melalui onak dan duri. Itu sunnah alam…”
“Semoga aku terlindung dari menjadi seorang Islam yang lemah….” bisikku
Bersambung…












Salam sejahtera Tuan PI.
Saya ingin sangat melihat org2 melayu gigih berusaha & tidak terlalu membuang masa.
Artikel ini memberi pengajaran khususnya kepada diri saya.
T/kasih.
Pemburu Impian: Terima kasih atas kunjungan Ustaz Hadi. Benar, bersatu kita teguh…